1.0 Definisi Falsafah Bahasa
Falsafah
bahasa merupakan gabungan dua perkataan, iaitu falsafah dan bahasa. Namun
kedua-dua entiti ini membawa kepada pemaknaan yang berbeza sama sekali.
Falsafah merupakan gabungan dua kata, iaitu istilah Yunani philo (cinta) dan
sophos (hikmat). Kebenaran dan keutamaan kata yang dibawa oleh Phytogras ini
dapat disimpulkan sebagai pencinta kebijaksanaan. Apabila membincangkan
mengenai kebijaksanaan, maka akan bersangkutan pula dengan perkataan
‘mengerti’, dan ‘pengetahuan’. Keserasian makna kebijaksanaan dengan falsafah
merupakan suatu bentuk pengetahuan tertentu yang boleh dikatakan sebagai
pengetahuan dalam bentuk yang tertinggi.
Bagi
pendefinisian bahasa pula, merujuk kepada sistem lambang dan bunyi suara yang
dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Kamus
Dewan Edisi Keempat, 2010: 106). Bagi Von Humboldt, iaitu seorang sarjana
Jerman bahasa didefinisikan sebagai sintesis bunyi. Terdapat dua pengertian
bahasa yang menjadi titik tolak untuk berfalsafah, iaitu bahasa dalam konteks
eksklusif (bahasa sebagai alat komunikasi seharian) dan yang kedua bahasa dalam
konteks inklusif (bahasa bukan sebagai alat komunikasi contohnya bahasa tari,
bahasa muzik dan bahasa cinta). Melalui pentakrifan yang dibuat dapat
dinyatakan kesimpulan bahawa bahasa adalah satu medium yang diguna pakai oleh
masyarakat untuk menyampaikan konsep atau lebih tepat lagi untuk berkomunikasi
antara satu sama lain.
Namun
demikian, penggabungan kedua-dua elemen ini dapat membawa kepada sesuatu bentuk
pengetahuan yang lebih unggul. Menurut Hashim Hj, Musa (1994), bidang falsafah
terbahagi kepada dua bahagian, iaitu falsafah linguistik dan falsafah bahasa.
Pembicaraan tentang falsafah linguistik merangkumi kepada cakupan dasar falsafah
dalam konsep dan istilah linguistik. Hal ini merujuk kepada penelitian tentang
kaedah dan amalan yang digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif dalam
disiplin mereka.
Bagi
falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan memeriksa berasaskan falsafah pengetahuan
yang dipanggil conceptual knowledge
atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara ilmu (knowledge), logik dan sebagainya. Falsafah
bahasa juga merupakan bidang yang
menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan menggunakan
konsep
pengetahuan dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi mencari kebenaran
dalam setiap aspek yang ingin dikaji. Selain itu, falsafah bahasa juga
merupakan suatu penyelidikan secara mendalam terhadap bahasa yang digunakan
dalam falsafah, sehingga dapat dibezakan penyataan falsafah yang mengandungi
makna dengan yang tidak bermakna. Falsafah bahasa juga dilihat sebagai sebuah
ilmu, iaitu sekumpulan hasil fikiran mengenai hakikat bahasa yang disusun
secara sistematik untuk dipelajari dengan menggunakan kaedah tertentu. Falsafah
bahasa juga boleh bererti sebuah kaedah berfikir secara mendalam, logik dan
universal mengenai hakikat bahasa.
2.0 Teori Falsafah Bahasa
Dalam
falsafah bahasa ini, terdapat satu gagasan teori yang dikaji oleh Mohd Rashid
Md Idris, iatu teori falsafah bahasa yang menggabungkan dua teori lain. Teori
yang dimaksudkan adalah teori relatif dan teori kenuranian bahasa. Menurut
beliau, manusia mempunyai bahasa dan dapat berfikir tetapi binatang tidak,
kecuali dalam bentuk yang amat primitif dan erat hubungannya dengan naluri
binatang tersebut. Beliau menegaskan bahawa manusia dianugerahi Allah S.W.T
dengan bahasa dan akal semata-mata untuk mengangkat martabat manusia sebagai
makhluk ciptaan yang sebaik-baik kejadian. Oleh yang demikian, beliau
menggunakan kerelevanan idea tersebut untuk menggabungkan kedua-dua teori
tersebut kerana berpendapat kedua-dua unsur tersebut tidak boleh difikirkan
secara terpisah. Dalam teori yang digunakan oleh beliau, terdapat tiga bahagian
yang dikemukakan, iaitu bulatan, anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus.
Bahagian ini dapat dijelaskan dalam rajah di bawah:

Berdasarkan
rajah di atas, tiga aspek yang ditonjolkan adalah bulatan yang bermaksud
keadaan yang mana memerlukan manusia untuk berbahasa secara sempurna, iaitu
dari aspek nahu, makna dan tujuannya. Bahagian kedua pula adalah anak panah
(dua hala) yang menggambarkan wujudnya hubungan langsung secara tersurat antara
penutur dan pendengar. Aspek yang terakhir adalah garisan putus-putus yang
memaparkan hubungan secara tersirat antara manusia dengan Maha Pencipta.
3.0 Sinopsis I La Galigo
Epik
ini dimulai dengan penciptaan dunia. Merujuk kepada Sulawesi Selatan, ketika
dunia ini masih kosong, dunia terbahagi kepada tiga kerajaan, iaitu kerajaan
Alam Langit, kerajaan Alam Tengah dan kerajaan Alam Ghaib. Kerajaan Alam Langit
dan Alam Ghaib telah mengadakan mesyuarat untuk melantik pemerintah di alam
Tengah atau Raja Alekawa (Raja Bumi). Raja Langit dikenali sebagai La Patingga,
manakala Raja dari Alam Ghaib pula dikenali sebagai Guru Ri Selleng. Hasil
daripada mesyuarat itu, La Patingga bersetuju untuk menghantar anak lelakinya
yang sulung, iaitu La Toge’ untuk menjadi Raja Alekawa (Raja Bumi) dan memakai
gelaran Batara Guru. Guru Ri Selleng dari kerajaan alam ghaib pula bersetuju
menghantar puterinya yang bernama We Nyili’ Timo ke Alam Tengah. Mesyuarat
tersebut diadakan bertujuan agar Raja Langit dan Raja Alam Ghaib mempunyai
hamba yang dapat menyembah mereka, kerana mereka beranggapan bahawa mereka
tidak akan menjadi raja atau dewi ekiranya tiada seorang pun yang menyembah
mereka di dunia ini.
Oleh
sebab La Patingga dan Guru Ri Selleng bersaudara, maka Batara Guru akhirnya
berkahwin dengan sepupunya itu, iaitu We Nyili’ Timo semasa di Alam Tengah.
Sebelum Batara Guru dinobatkan sebagai Raja di bumi, beliau perlu melalui ujian
selama 40 hari 40 malam. Tamat sahaja ujian itu, beliau diturunkan ke bumi dan
dikatakan beliau turun di Ussu’, iaitu sebuah daerah di Luwu’ yang terletak di
Teluk Bone. Kemudian, Batara Guru digantikan oleh anaknya yang bernama La
Tiuleng dengan memakai gelaran Batara Lattu’. Batara Lattu’ kemudiannya
mendapat dua orang anak kembar, iaitu lelaki dan perempuan yang masing-masing
bernama Sawerigading (Putera Ware’) dan We Tenriyabeng. Kedua-dua kembar
tersebut tidak dibesarkan secara bersama. Diceritakan bahawa suatu hari,
Sawerigading ditakdirkan jatuh cinta dengan kembarnya sendiri kerana menganggap
We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya sehingga beliau ingin
berkahwin dengannya.
Setelah
beliau mengetahui bahawa perkara itu merupakan salah satu larangan, maka
Sawerigading bertekad meninggalkan Luwu’ menuju ke negeri China dan bersumpah
tidak akan kembali lagi. Sepanjang perjalanannya ke kerajaan China, beliau
telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio,
iaitu Setia Bonga. Setelah tiba di negeri itu, beliau telah berkahwin dengan
Datu China yang bernama We Chudai yang dikatakan mirip dengan kembarnya. Sawerigading
digambarkan sebagai seorang
kapten
kapal yang sangat perkasa. Antara tempat yang pernah dilawati oleh beliau ialah
Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa
Ritengnga ( kemungkinan Jawa Timur dan Tengah), Melaka dan lain-lain. Kononnya
juga, beliau pernah melawat syurga dan alam ghaib. Antara pengikut beliau ialah
terdiri daripada saudara-maranya dari pelbagai rantau. Sepanjang rombongannya
akan didahului dengan kehadiran tetamu yang pelik seperti orang bunian,
berkulit hitam dan sebagainya.
Sawerigading merupakan ayahanda
kepada I La Galigo yang memakai gelaran Datunna Kelling. I La Galigo mempunyai
perwatakan yang sama dengan ayahandanya, iaitu sebagai seorang kapten kapal,
seorang perantau, pahlawan mahir dan perwira yang tiada bandingannya ketika
itu. Beliau juga digambarkan mempunyai empat orang isteri yang berasal dari
pelbagai negeri. Namun begitu, walaupun Sawerigading dan anakandanya itu
terkenal dengan keperwiraaan dan keperkasaaan mereka, akan tetapi merreka tidak
pernah dinobatkan sebagai raja. Pemahkotaan anak lelaki I La Galigo yang
bernama La Tenritatta di Luwu’ merupakan penceritaan yang terakhir dalam epik
ini.
4.0 Prinsip Berbahasa mengikut Nahu
dalam I La Galigo
Nahu
atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa
terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Berbahasa
mengikut nahu merupakan prinsip pertama yang diketengahkan oleh Teori Falsafah
Bahasa. Prinsip tersebut menegaskan betapa pentingnya kita berbahasa dengan
betul mengikut nahunya. Proses komunikasi atau berbahasa perlu mengikut nahunya
agar maklumat yang yang ingin disampaikan itu mencapai objektifnya. Antara
elemen-elemen penting dalam sesebuah proses komunikasi atau berbahasa adalah
terdiri daripada sumber, saluran, mesej, penerima, maklum balas, gangguan dan
juga persekitaran. Bahasa merupakan suatu sistem. Hal ini membuktikan bahawa
bahasa itu lengkap dan sempurna dari segi peraturan ataupun polanya. Selain
itu, bahasa juga terdiri daripada sistem bunyi, sistem makna dan juga sistem
tatabahasa. Bahasa yang digunakan dalam pertuturan dan juga penulisan
sememangnya terikat dengan sistem tatabahasanya. Dalam sistem tatabahasa
mahupun nahu, setiap perkataan perlu disusun dalam bentuk ayat yang sempurna
dan memberi makna sebelum diucapkan ataupun ditulis.
Di
samping itu, penggunaan perkataan yang difahami umum (denotatif) juga amat
penting agar pendengar dapat mentafsir makna dengan tepat. Penggunaan bahasa
yang baik dan jelas akan meningkatkan keberkesanan penafsiran makna oleh
pendengar. Oleh itu, jika kita berbahasa dengan menggunakan bahasa yang betul
mengikut nahunya, mesej yang hendak disampaikan kepada individu lain akan dapat
disampaikan dengan sempurna dan jelas. Perkongsian makna juga amat penting
dalam berbahasa. Setiap individu khususnya pendengar perlu mempunyai
pengetahuan untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh penutur apabila
sesuatu proses komunikasi lisan berlaku. Komunikasi merupakan proses apabila
kedua-dua pihak yang terlibat membentuk dan berkongsi makna antara satu sama
lain dengan tujuan untuk mencapai kesefahaman. Perkongsian di sini bermaksud
perkongsian makna terhadap sesuatu isyarat yang ingin digunakan oleh penutur
dan juga pendengar. Selain itu, komunikasi yang baik akan berlaku sekiranya
penutur dan pendengar bersetuju dengan penggunaan sesuatu bahasa dan bahasa
tersebut dapat difahami dengan baik oleh kedua-dua pihak. Namun demikian,
masalah akan berlaku dalam komunikasi sekiranya timbul masalah perbezaan
persekitaran setiap individu seperti budaya, adat resam, sikap, pendidikan dan
juga nilai. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya manusia berbahasa dengan
betul agar mesej yang ingin disampaikan kepda setiap individu dapat dicapai
objektifnya.
I
La Galigo merupakan sebuah sejarah mitos penciptaan dari peradaban Bugis di
Sulawesi Selatan (sekarang bahagian daripada Republik Indonesia) yang ditulis
di antara abad ke-13 dan juga abad ke-15 dalam bentuk puisi bahasa Bugis kuno,
ditulis dalam huruf lontara kuno Bugis. Versi bahasa Bugis asli I La Galigo
sekarang hanya dapat difahami oleh kurang seratus orang. Hanya sebahagian
sahaja daripada teks I La Galigo yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Indonesia dan tidak ada versi lengkap dalam bahasa Inggeris. Namun demikian,
terdapat sebuah buku yang menceritakan I La Galigo secara ringkas dengan
menggunakan dwibahasa, iaitu bahasa Indonesia dan juga bahasa Inggeris. Buku
tersebut bertajuk ‘The Birth of I La Galigo’. Walaupun buku tersebut
menggunakan bahasa Indonesia, namun pembaca dapat memahami isi kandungan buku
tersebut. Mesej yang ingin disampaikan melalui buku tersebut juga tercapai
kerana dapat difahami oleh pembaca. Buku tersebut juga turut menceritakan cara
Sawerigading dalam mendapatkan I We Cudai. Berikut merupakan petikan yang
terdapat dalam buku tersebut:
“Bagian yang konon
paling digemari oleh masyarakat Bugis adalah yang mengungkapkan bagaimana
Sawerigading berusaha mendapatkan I We Cudai. Putri yang sangat jelita dari
Alecina ini mula-mula tidak mau dan merasa malu menerimanya sebagai suami
tetapi karena kalah perang akhirnya terpaksa talkuk juga, dengan syarat yang
hampir tidak mungkin dilaksanakan oleh Sawerigading. Namun dengan bantuan dua
ekor kucing, Sawerigading berhasil menggauli I We Cudai dan mendapatkan anak,
meskipun dalam proses hubungan mereka itu keduanya tak pernah saling melihat
karean I We Cudai sebenarnya malu diperistri Sawerigading. Di atas tempat tidur
yang gelap gulita, yang dikelilingi tujuh lapis kelambu, dilingkari tujuh lapis
dinding, dijaga oleh sejumlah besar punggawa, Sawerigading berhasil
melaksanakan tugasnya sebagai suami...”
“I We Cudai merasa
sangat malu ketika mengidam dan kemudian melahirkan; bahkan tidak mau melihat
anaknya sendiri. Anak yang baru lahir itu pun diperintahkannya untuk dibuang
atau dibunuh, namun madunya dengan bangga dan setia mengurus anak tirinya
sehingga besar dan perkasa. Anak itu adalah I La Galigo, yang sesudah dewasa
bertemu dengan ibunya yang sejati, yang terpesona oleh kecakapan dan
keperkasaannya. I We Cudai akhirnya juga menerima Sawerigading sebagai
suaminya...”
(The Birth of I La Galigo, 2005:14)
Berdasarkan
petikan tersebut, mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca tercapai walaupun
bahasa yang digunakan adalah bahasa Indonesia. Bahasa yang yang digunakan
adalah mudah dan dapat difahami oleh pembaca, iaitu mengisahkan tentang
kelahiran I La Galigo. Ha ini bermakna terjemahan teks I La Galigo ke dalam
bahasa Indonesia memudahkan pembaca dapat mengetahui serba sedkit mengenai
sejarah I La Galigo. Perkataan yang digunakan dalam buku tersebut juga adalah
mudah dan tidak sukar untuk mengetahui maknanya. Oleh itu, walaupun terjemahan
teks I La Galigo ke dalam bahasa Melayu belum pernah dilakukan, namun bahasa
Indonesia yang mudah digunakan dapat menyampaikan mesej kepada pembaca tentang
sejarah I La Galigo. Justeru itu, perkataan yang mudah digunakan serta bahasa
yang dapat difahami oleh pembaca memudahkan peyampaian mesej berlaku kepada
pembaca.
5.0 Prinsip Berbahasa untuk
Menyampaikan Maklumat yang Benar dalam I La Galigo
Teori
Falsafah Bahasa ini turut menitikberatkan bahawa tujuan berbahasa adalah untuk menyampaikan
maklumat yang benar dan betul. Sesuatu maklumat yang disampaikan tidak hanya
berlandaskan kepada kepercayaan dan emosi semata-mata. Seseorang itu hendaklah
menyampaikannya berlandaskan penaakulan yang tepat, sahih dan boleh dipercayai.
Hal yang demikian bertujuan untuk mengelakkan maklumat tersebut tidak
bercanggah dengan fakta sebenar selain menghindarkan diri dari melakukan
fitnah. Dalam agama Islam, setiap umat Islam diajar supaya mengkaji atau
menyelidik terlebih dahulu maklumat yang diterima sebelum disampaikan dan
tersebar dalam kalangan masyarakat. Perkara ini mengkehendaki seseorang itu
untuk menggunakan perkataan yang tepat, jelas dan mudah difahami oleh orang
lain. Karya sastera merupakan sebuah karya yang dicipta atau dilahirkan daripada
sebuah pembentukan realiti yang diolah menjadi realiti yang mungkin dapat
dipercayai atau sebaliknya. I La Galigo merupakan sebuah karya sastera yang
lahir daripada pembentukan realiti dengan dunia ideal yang diyakini
kebenarannya. Hal yang demikian ini disebabkan oleh karya tersebut telah
menjadi pegangan kepada kehidupan masyarakat Bugis sejak dahulu lagi.
Pada
asasnya, masyarakat Bugis merupakan salah satu komuniti yang mempunyai struktur
masyarakat yang sangant spesifik. Ciri-ciri kebudayaan masyarakat tersebut juga
masih kekal dan dapat ditelurusi jejaknya dari zaman lampau sehinggalah kini.
Kenyataan ini terbukti berdasarkan peninggalan-peninggalan bertulis yang
terdapat di dalam karya I La Galigo. Setiap peristiwa dan penceritaan
tokoh-tokoh dalam Galigo merupakan gambaran kehidupan sebenar masyarakat awal
Bugis. Hal yang demikian ini menandakan bahawa karya sastera ini bukan sahaja
memiliki nilai estetikanya yang tinggi, malah masyarakat lain yang membaca
karya ini mengetahui keadaan yang merangkumi kepercayaan, adat dan budaya
masyarakat Bugis. Perkara ini bertepatan dengan prinsip falsafah bahasa yang
menekankan berbahasa untuk menyampaikan maklumat benar. Selain itu, karya agung
Bugis ini juga menyampaikan maklumat mengenai sejarah awal Bugis. Menurut La
Galigo, kerajaan pertama Bugis ialah Wewang Nriwuk, Luwu’ dan Tompoktikka.
Luwuk mendapat kedudukan yang istimewa kerana beliau dianggap sebagai ketua
Bugis. Namun begitu, pada abad ke-15, berlaku perubahan di dalam sosio-politik,
ekonomi dan agama kerana berlakunya migrasi penduduk.
Penanaman
padi sawah, pembuatan besi dan penggunaan kuda mula diperkenalkan dalam bidang
ekonomi ketika itu. Adat membakar mayat di sesetengah kawasan atau tempat turut
diamalkan, iaitu dari sudut agama. Pada akhir abad ke-15, telah muncul beberapa
kerajaan baru yang menentang kerajaan Luwu’. Misalnya, Gowa (Makassar), Bone
dan Wajo’. Kematian seorang raja Luwu’, iaitu Dewaraja menyebabkan berlakunya
perebutan dinasti untuk memerintah Tanah Ugi’. Dikatakan bahawa Gowa bersekutu
dengan Bone menawan Luwuk dan akhirnya berpengaruh besar terhadap Sulawesi
Selatan. Di samping itu, La Galigo menyimpan segala budaya dan peradaban
manusia Bugis yang kedudukannya tinggi dan besar sifatnya yang pernah wujud
dalam sejarah, kebudayaan dan tamadun Bugis. Jika dilihat tertulis di dalam La
Galigo mengenai kebudayaan masyarakat Bugis yang gemar berlayar, merantau dan
berdagang. Kenyataan ini terbukti daripada perwatakan Sawerigading dan
anakandanya, iaitu I La Galigo yang terkenal sebagai kapten kapal yang gagah.
Dikisahkan
bahawa sepanjang pelayaran dan perantauan, mereka telah berkenalan dan
berkomunikasi dengan dunia luar sehingga memungkinkan lahirnya wawasan yang
luas. Dengan erti kata lain, memberi peluang kepada mereka untuk mencipta
pembaharuan terhadap kehidupan masyarakat tersebut. Oleh itu, kemampuan
masyarakat Bugis dalam mencipta perahu, rumah, hukum pelayaran Amanna Gappa dan
sebagainya dapat diketahui melalui karya ini. Tambahan pula, penyampaian I La
Galigo membenarkan masyarakat lain mengetahui aktiviti perdagangan masyarakat
awal Bugis. Sejak berabad-abad yang lalu, masyarakat Bugis telah menjelajahi
hampir keseluruhan pelusuk Nusantara, Australia, Filipina, China dan
Madagaskar. Sebahagian kecil mengenai aktiviti dagangan ini disebutkan di dalam
karya terpanjang ini. Mereka dikatakan membawa dagangan yang berupa hasil laut,
emas dan besi.
6.0 Prinsip Berbahasa untuk Tujuan
Ibadat atau Mentauhidkan Allah S.W.T
Terdapat
pelbagai cara untuk kita beribadat kepada Tuhan selaku pencipta dunia ini.
Sebarang pekerjaan yang disertakan dengan niat kerana Allah merupakan salah
satu cara kita beribadat kepada Allah selain menunaikan solat fardhu, puasa dan
sebagainya. Berbahasa juga merupakan sebahagian daripada cara untuk kita beribadat.
komunikasi yang berkesan
melibatkan
semua bentuk hubungan antara manusia dengan segala bentuk keperluannya. Terdapat
tiga jenis hubungan, iaitu hubungan manusia dengan Allah S.W.T (hablum
minallah), hubungan antara manusia dengan manusia (hablum minannas) dan
hubungan manusia dengan alam sekitar. Hubungan manusia dengan pencipta-Nya
dikenali sebagai komunikasi menegak kerana Tuhan dilihat sebagai tunjang kepada
segala proses komunikasi yang berlaku. Jenis hubungan ini juga dilihat melibatkan
dua perkara utama, iaitu duniawi dan ukhrawi selaras dengan syariat agama Islam
itu sendiri. Keseimbangan antara kedua-dua perkara itu mempengaruhi kehidupan
seseorang yang lebih baik dan bertamadun. Hubungan antara manusia dengan
manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar pula dikenali sebagai
komunikasi secara mendatar. Komunikasi ini melibatkan dua orang individu secara
bersemuka atau berkomunikasi dengan makluk lain seperti jin, nunian, flora atau
fauna. Komunikasi jenis ini biasanya berlaku tanpa dirancang terlebih dahulu.
Misalnya, komunikasi antara kita dengan ahli keluarga, guru dan rakan-rakan.
Berbahasa dikatakan beribadat
apabila komunikasi yang berlaku itu memperlihatkan ciri-ciri penyampaian
maklumat yang benar, berbahasa untuk saling menegur, menasihati dan yang paling
jelas ialah penggunaan berbahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat. Jelas
bahawa berbahasa yang meperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau
orang lain merupakan salah satu kaedah untuk kita mentauhidkan Allah S.W.T. Terdapat
empat jenis komunikasi utama, iaitu komunikasi manusia dengan pencipta-Nya,
manusia dengan dirinya sendiri, manusia sesama manusia dan manusia dengan
makhluk-makhluk lain. Komunikasi yang berkesan dan selari dengan agama Islam
dipengaruhi oleh pengamatan dan penghayatan yang mendalam terhadap
keempat-empat jenis komunikasi tersebut. Manusia merupakan makhluk ciptaan
Allah S.W.T yang istimewa berbanding makhluk yang lain kerana akal
dianugerahkan kepada mereka. Akal digunakan untuk berfikir mengenai kebesaran
dan keesaan Allah S.W.T. Oleh sebab itu, manusia digelar sebagai komunikator
yang mempunyai akal, pancaindera dan sistem biologi yang luar biasa semasa
proses berbahasa atau berkomunikasi berlaku.
Berdasarkan epik atau karya sastera Bugis,
iaitu I La Galigo dapat diketahui bahawa keadaan awal masyarakat Bugis setelah
kemasukan agama Islam di tanah mereka. Menurut pendapat Andi Muhammad Akhmar
yang dipetik oleh Gusti Grehenson (2012) dalam penulisannya menyatakan bahawa
sastera agung Bugis ini tidak hanya dinikmati sebagai
sastera
sahaja tetapi sebagai pencetus Islami kepada masyarakat Bugis. Kemasukan agama
Islam dalam kalangan masyarakat Bugis berlaku tanpa menyingkirkan unsur-unsur
lama mereka tetapi menyesuaikannya dengan unsur Islam. Seperti yang diketahui
bahawa, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Bugis di Sulawesi Selatan telah
menganut kepercayaan kuno yang dikenali sebagai kepercayaan terhadap Dewa atau
Dewata Seuwae (Tuhan yang Tunggal). Lazimnya, karya I La Galigo yang juga
disebut sebagai manuskrip La Galigo merupakan warisan masyarakat Bugis yang
merangkumi empat aspek, iaitu keagamaan, kitab suci, tradisi dan kesenian.
Berdasarkan pembacaan karya tersebut, masyarakat Bugis mempercayai ajaran
daripada Galigo bahawa Dewa tertinggi mereka ialah La Patingga yang bermukim di
kerajaan langit dan Guru Ri Selleng yang bermukim di kerajaan ghaib sebelum
menganut agama Islam.
Berdasarkan kepercayaan itulah,
lahirnya upacara dan tradisi masyarakat Bugis yang masih dapat ditemui dalam
kebudayaan masyarakat mereka. Bissu dan Sanro merupakan penajaga dan penyelamat
La Galigo. Bissu dikenali sebagai pendeta banci yang berperanan sebagai
penghubung antara manusia dengan dewa, manakala Sanro pula berperanan sebagai
pengamal yang berada di belakang layar selain bertugas menyediakan peralatan,
bahan-bahan dan alat upacara. Hampir keseluruhan upacara yang menjadi kebiasaan
manusia ketika itu, didampingi oleh Bissu dan Sanro. Misalnya, upacara
penurunan padi, naik rumah dan sebagainya. Fenomena seperti ini menggambarkan
bahawa La Galigo berkait rapat dengan agama khasnya selain daripada tradisi dan
kesenian masyarakat Bugis itu sendiri. Terdapat pelbagai ajaran Islam dan Bugis
yang menerapkan unsur-unsur kejiwaan yang telah diadaptasikan malahan
didialogkan sehingga terpancarnya corak kebudayaan Islam dengan wajah Bugis
atau disebut sebaai kebudayaan Bugis yang berwajaha Islam. Jadi, tidak
hairanlah sekiranya kita menemui doa Bissu yang ada menyebut Patatoqe sebagai
Dewa yang tunggal.
Sungguhpun dalam La Galigo juga,
Dewa tidak bersifat tunggal kerana masyarakat Bugis mengatakan bahawa Dewa
bersifat beranak-pinak atau sebaliknya. Bahkan, di dalamnya juga dapat ditemui
konsep siriq yang kemudiannya diadaptasi dengan konsep jihad selaras dengan ajaran
agama Islam. La Galigo dianggap sebagai kitab suci dan sumber agama bagi
penganut agama To ri Olo masyarakat Bugis. Hal yang demikian disebabkan oleh
karya epik tersebut mewariskan sejumlah tradisi yang saling berkaitan dengan
pelbagai upacara
suci
dan sakral. Dikatakan bahawa, dalam upacara suci dan sakral itu kebiasaannya
akan diiringi dengan pemotongan haiwan yang disertai dengan pembacaan sureq La
Galigo. Tiada pembacaan teks I La Galigo tanpa diiringi upacara keagamaan.
Bukan itu sahaja, sebelum pembacaan dilakukan seharusnya mengadakan persembahan
sajian, dupa atau pemotongan ayam atau kambing. Perlakuan membaca salah satu
fragmen yang terdapat dalam I La Galigo dikatakan boleh menyembuhkan penyakit,
tolak bala dan sebagainya.
I La Galigo diketahui umum bahawa
tidak banyak terpengaruh dengan agama Islam, akan tetapi berdasarkan prinsip
falsafah yang ketiga ini dapatlah dikaitkan bahawa terdapat kisah yang unik
mengenai Sawerigading yang memaparkan pentauhidan kepada Allah S.W.T. Menurut
kepercayaan sebahagian masyarakat Bugis, Sawerigading yang diceritakan di dalam
karya tersebut memiliki kekuatan yang luar biasa kerana beliau merupakan
keturunan dewa, malahan sebahagian masyarakat itu menganggapnya sebagai Nabi
yang diturunkan ke bumi. Berdasarkan kisah perjalanan beliau ke pelbagai buah
negara, lahir beberapa spekulasi yang mengatakan bahawa Sawerigading pernah
bertemu dengan Nabi Muhammad. Dalam pertemuan itu, mereka sempat berbincang dan
berlawan antara satu sama lain. Semasa perlawanan antara Sawerigading dengan
Baginda, berlaku perlawanan seri antara kedua-duanya. Di akhir perlawanan itu,
Sawerigading mengakui dan tidak menafikan akan kehebatan Baginda.
Karya tersebut juga telah
mempengaruhi sebahagian kepercayaan masyarakat Bugis kerana menurut mereka,
Sawerigading mempunyai ajaran atau anutan yang hampir serupa dengan ajaran
Islam. Misalnya, soal solat dan haji, akan tetapi berbeza dari segi
pelaksanaannya. Sawerigading juga menggalakkan anak cucunya untuk mengunjungi
Mekah. Namun begitu, menurut pengkaji, karya agung ini tidak tepat sekiranya
dikaitkan dengan prisnsip berbahasa yang ketiga, iaitu berbahasa untuk
mentauhidkan Allah kerana karya ini penuh dengan mitos dan lagenda. Misalnya,
mitos penciptaan oleh Dewa langit dengan mengirimkan anaknya yang digelar
Batara Guru dan We Nyili’ Timo, puteri kepada Dewa Alam Ghaib. Umumnya,
Sawerigading yang memiliki kekuatan luar biasa seperti beliau berkemampuan
untuk naik ke langit dan turun ke bumi, meredakan angin ribut dan sebagainya
seolah-olah beliau merupakan nabi. Bahkan, karya ini juga lahir sebelum
datangnya ajaran agama Islam. Namun begitu, setelah pengaruh Islam meresap
dalam sebahagian masyarakat Bugis pada abad ke-15, mereka telah menyesuaikan
konsep dewa itu kepada Tuhan dan sebagainya tanpa mengubah kebudayaan
masyarakat itu.